Friday, January 9, 2009

Perihal Azan


Azan
(أَذَان) adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh penganut agama Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya orang-orang Mukmin boleh diseru supaya bergesa berkumpul untuk mengerjakan solat fardu. Dari segi bahasa, azan bermaksud ialah "al-i`lam" (pemberitahuan) atau "an-nida'" (seruan). Azan ialah suatu gabungan perkataan-perkataan tertentu untuk menandakan waktu solat fardu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu solat. Penandaan ini dibuat dengan melaungkan dengan lafaz-lafaz tertentu.

Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan sembahyang fardhu. Melaungkan azan juga adalah satu fardu kifayah bagi sesuatu kumpulan, dan tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan satu sunat aini atau, dan pahala sunat akan diperolehi apabila seseorang itu melakukannya. Bagi kaum wanita, disunatkan melakukan Iqamat sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara mereka.

Dalil bagi azan

Al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijmak menyatakan melaungkan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada al-Qur'an ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) sembahyang..." (Surah al-Ma'idah, ayat 58). Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadis. Antaranya ialah sebuah hadis yang bermaksud: "Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Asal usul azan

Dari Abdullah bin Umar katanya: Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a., "Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu sembahyang?" Bersabda Rasulullah SAW: "Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang." (Hadis Riwayat Muslim)

Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah. Ketika orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka untuk menunaikan solat pada waktunya. Al maklum setiap orang mempunyai potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada diri masing-masing disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang dijalani mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua orang untuk solat tepat pada waktunya. Ada banyak cadangan yang diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang dari Umar r.a. yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua orang, termasuk Rasulullah SAW memandangkan banyak cadangan-cadangan yang lain lebih mirip kepada kaum kafir.

Namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya? Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a. meriwayatkan: "Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah bertanya, "Untuk apa? Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat." Orang itu berkata lagi, "Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik?" Dan aku menjawab, " Ya!" Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang, "Allahu Akbar, Allahu Akbar...." Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah SAW dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda: "Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang." Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal. "Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Baginda bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk tersebut.

Cara Azan Yang Dilakukan Oleh Muazzin (bilal)

Daripada Abu Juhaifah r.a. katanya, "Aku telah melihat Bilal sedang Azan dan aku memerhatikan mulutnya, kepalanya kekanan dan kekiri dan dua jarinya didalam telinganya." Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Tarmizi, beliau menganggap hadis ini panjang. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah pula menyebut, "meletakkan dua jarinya ke dalam dua telinganya." Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud menyebut, "(Bilal) telah memalingkan tengkuknya ketika menyebut "Haiya alassolah" ke kanan dan ke kiri, tanpa berpusing badannya." Asal hadis ini di dalam soheh al-Bukhari dan soheh Muslim. Dan daripada Abu Mahzurah r.a. bahawa Nabi SAW perkenan suaranya lalu diajarkan Azan kepadanya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:
  1. Setiap umat Islam dikehendaki mengambil berat didalam melakukan amal ibadatnya termasuklah ibadat sembahyang.
  2. Sunat bagi tukang azan meletakkan dua jarinya kedalam dua telinganya supaya suaranya lebih nyaring.
  3. Sunat juga ia memalingkan kepalanya kekanan dan kekiri ketika menyebut "Haiyya alassolah" dan "Haiyya alalfalah"
  4. Makruh bagi tukang azan memalingkan badannya sekali ketika sedang berazan.
  5. Harus bagi imam memberi upah kepada tukang azan dari wang Baitul Mal atau dari ahli mukim atau dari pihak yang berkuasa. Kerana khidmatnya memanggil orang untuk melakukan solat.
Adab dan Tertib Azan

Lafaz azan terdiri daripada lima belas kalimah. Ia dilaungkan sebanyak dua kali bagi setiap lafaz kecuali Takbir pada awal azan disebut sebanyak empat kali dan lafaz kalimah tauhid hanya sekali sahaja. Sila rujuk [Azan dan Iqamat ] cara-cara azan. Orang yang melaungkan azan hendaklah seorang lelaki Muslim yang berakal. Azan mestilah dilakukan oleh seorang sahaja untuk semua kariah, dan tidak boleh dibuat berulang kali untuk kariah yang sama. Azan hendaklah dilafazkan dalam Bahasa Arab.

Azan dilaungkan ketika masuk waktu solat melainkan pada waktu Subuh. Waktu Subuh mempunyai dua azan di mana Azan pertama dilaungkan sebelum masuk waktu iaitu bermula waktunya selepas berlalu separuh malam untuk memberitahu Muslimin bahawa waktu Subuh sudah hampir. Azan kedua dikumandangkan ketika masuk waktu Subuh.

Untuk solat Jumaat, azan berkumandang sebanyak dua kali, kali pertama untuk menandakan masuk waktu Zuhur untuk memanggil orang-orang Muslim ke masjid dan kali kedua dikumandangkan sejurus sebelum Imam memulakan khutbah Jumaat. Iqamat dilafazkan selepas imam selesai membaca khutbah, dan sebelum imam mengangkat Takbir Jumaat.

Sunat Azan

Orang yang melaungkan azan (muazzin) mestilah suci daripada hadas kecil, hadas besar dan najis. Beliau juga hendaklah menghadap kiblat ketika mengumandangkan azan. Azan sunat dilafazkan oleh muazzin yang baik dan merdu suaranya serta nyaring. Azan hendaklah dinyaringkan biarpun didengar oleh salah seorang daripada jemaah ketika sembahyang berjemaah. Sekiranya tidak menggunakan pembesar suara, azan hendaklah dilaungkan di tempat yang tinggi. Penggunaan pembesar suara di merata tempat memaafkan perbuatan ini. Azan juga sunat dilakukan berdiri kecuali jika ada uzur.

Ketika muazzin membaca "hayya 'ala as-salah", muazzin hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca "hayya 'ala al-falah" menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri. Juga disunatkan melakukan tarji' semasa azan iaitu menyebut dua kalimah syahadah secara senyap sebelum dinyaringkan.

Disunatkan juga muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya dengan tujuan untuk meninggikan suara. muazzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan. Orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada lafaz "hayya 'ala as-salah" dan "hayya 'ala al-falah". Kedua-duanya disahut dengan "la haula wala quwwata illa bi Allah" yang bermaksud "tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah".

Azan itu hendaklah dilakukan dengan Tertib dan Muwalat di antara lafaz azan dan Iqamat.

Syaitan Lari!

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi s.a.w bersabda: "Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya: "Ingatlah apa yang belum kamu ingat!" Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Syaitan berada di mana-mana. Oleh kerana itu pohonlah perlindungan dengan berzikir atau membaca ayat-ayat al-Qur'an. Dalam menghadapi keadaan-keadaan yang membahayakan, mencemaskan atau menakutkan, malah dalam keadaan biasa sekalipun pun, eloklah kita mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, contohnya, dalam waktu kecemasan seperti kebakaran, azan dan takbir amat sesuai dilaungkan di samping ayat-ayat atau zikir-zikir pendek. Selain itu untuk berlindung daripada syaitan juga kita dikehendaki melaungkan azan dan iqamah ke telinga bayi yang baru lahir.

Sesungguhnya syaitan itu tidak lain melainkan sentiasa ingin menggoda manusia dengan apa cara sekalipun hatta di dalam solat supaya manusia lalai daripada mengingati Allah dan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebinasaan pada dirinya. Sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengamalkan berbagai bacaan doa sama ada ketika makan, ingin memasuki tandas, keluar tandas, memasuki rumah memakai pakaian, tidur, membawa kenderaan dan sebagainya. Maka apabila manusia terlindung dengan doa yang dibacanya itu akan terlepaslah peluang syaitan untuk merosakkan manusia.

Menjawab azan

Menjawab azan hukumnya sunat. Ini berdasarkan dalil
(dengan satu perbuatan Nabi SAW), ketika mana baginda mendengar tukang azan melaungkan takbir, baginda bersabda, "(kamu berada) atas Fitrah." Ketika baginda mendengar syahadah, baginda bersabda, "Kamu selamat daripada neraka." (Hadis Riwayat Muslim). Jumhur Ulama berkata, "Jika menjawab azan itu wajib, sudah pasti Nabi SAW akan menyahut azan tersebut sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin. Maka apabila (terdapat perbuatan Nabi yang tidak menyahut azan seperti laungan muazzin) menjadi tanda bahawasanya arahan (menjawab azan seperti hadis dari Abi Sa'id) menunjukkan kepada istihab (sunat)..." [As-Sana'ani, Subulus Salam. jld. 1, ms. 428]

Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu mendengar muadzin menyerukan azan, maka ucapkan pula apa yang dibaca muadzin itu. Kemudian bacalah salawat untukku, kerana sesungguhnya orang yang bersalawat bagiku, Allah memberi berkat kepadanya sepuluh kali. Sesudah itu mohonkanlah bagiku kepada Allah 'Alwasilah', iaitu suatu tempat di syurga yang hanya akan ditempati oleh seorang hamba Allah. Aku berharap, akulah yang akan menempatinya. Maka siapa yang memintakan 'Alwasilah' itu untukku, dia akan beroleh syafa'at (pembelaan) dariku." (Hadis Sahih riwayat Muslim)

Dari Sa'ad bin Abu Waqqash r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Siapa yang mendengar muadzin menyerukan azan, lalu dia mengucapkan: 'Asyhadu alla ilaaha illallah wahdahu lasyarikalah, wa anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu, radhitu billahi rabban, wa bi Muhammadin rasulan, wa bil Islami dinan' (Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah, satu-satunya-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan bahwa Muhammad hamba-Nya dan Rasul-Nya aku suka Allah menjadi tuhanku, Muhammad sebagai Rasul dan Islam jadi agamaku) maka diampuni Allah dosa-dosanya." (Hadis Sahih riwayat Muslim)


Doa selepas Azan

Setelah selesai azan, doa berikut adalah sunat dibaca oleh muazzin dan penganut Muslim lain yang mendengar azan: "Wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan." (Allahumma rabba hadhi-hid da'wa-tit-tamma wa-salatil qae-ma)

اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة

Berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan (Ati muhammadanil wasilata wal fadeela)


آت محمداً الوسيلة و الفضيلة

Serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya (Wab ath-hu maqamam-mahmuda-nil ladhi wa at-ta)

وابعثه مقاماً محموداً الذي وعدته

(Hadis riwayat Bukhari)

Adab mendengar azan

Seelok-eloknya janganlah berkata-kata (bersembang), sebaliknya, jawaplah azan dan berdoalah selepas azan habis dilaungkan.

Benarkah
bercakap ketika azan tidak boleh mengucap?

Dikatakan bahawa jika bercakap ketika azan akan menghadapi azab tidak boleh mengucap ketika nazak adalah perkara yang salah/tidak tepat. Jika benar bercakap ketika azan adalah satu perkara yang salah dan dilarang oleh Allah, kenapakah para sahabat bercakap ketika azan dilaungkan? Ni berdasarkan hadis, "Adalah mereka di zaman Umar bin al-Khattab, menunaikan solat (Sunat) pada hari Jumaat, sehinggalah Umar masuk ke dalam masjid, apabila Umar masuk (ke dalam masjid, dan beliau duduk di atas mimbar, lalu tukang azan melaungkan azan. Kata Thalabah: Kami pun duduk (berhenti dari menunaikan solat sunat) dan kami berbicara (bersembang). Apabila azan selesai, lalu Umar berdiri untuk menyampaikan khutbah, kami pun diam dan tidak ada seorang pun daripada kami yang berbicara." [Muwata Malik dengan Syarah al-Zarqani. Jld 1, m.s. 307]

Kalau benar bercakap ketika azan akan menyebabkan mati tak dapat mengucap, para Sahabat tentu tidak akan melakukannya! Jadi kalau menjawab azan yang telah jelas ada dalilnya tu pun sunat, arahan mewajibkan berdiam diri yang tiada dalilnya lebih lagi tidak dapat menjadi hujah. Malahan ianya bertentangan dengan nas-nas sahih dan jelas kerana Nabi SAW juga bercakap ketika azan dan Nabi SAW menjawab azan (bukan berdiam diri). Kalau dibandingkan dengan berbual-bual kosong, tentu lebih utama menjawab azan kerana itu sunnah.

No comments: