Monday, January 26, 2009

Memahami Allah Subhanahuwata’ala Dan Tuhan Yang Kita Kenali

Wahai kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, marilah kita sama-sama bermuhasabah serta membuat renungan dengan mata hati kita serta akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita supaya kita tidak terjebak kepada bahaya syirik dan kemurkaan Allah dengan cara yang tidak kita sedari samada dengan hati, perbuatan atau perkataan.

Sesungguhnya Allah s.w.t. itu adalah Maha Esa lagi Tunggal dan Dia mempunyai nama-namaNya Yang Maha Terpuji. Oleh itu panggil dan serulah akan nama-namaNya Yang Maha Terpuji sebagaimana yang disebutkan didalam Al-Quran. Masyarakat melayu khususnya memang telah sebati dengan kefahaman dan anggapan bahawa Allah itu adalah tuhan dan tuhan itu Allah.



Ketika berdoa mereka akan menambah doa mereka dengan menyebut (contoh): ‘ Ya Allah Ya tuhanku..’ Persoalannya disini adakah layak untuk kita menganggap Allah itu adalah tuhan dan dari manakah punca serta asal perkataan tuhan..? Adakah kita menjadikan alasan bahawa nenek moyang kita sejak dari dahulu telah menggunakannya maka kita terus mewarisi kepercayaan itu tanpa kita mempunyai pengetahuan yang sebenar tentangnya ? Tahukah kita akan maksud sebenar dan perbezaan antara perkataan ‘tuhan’ ‘ Robb’ dan ‘Ilah’ yang selalu kita temui didalam terjemahan Al-Quran serta kitab-kitab agama yang kita baca? Selama ini mungkin kita memahami ketiga-tiga perkataan tersebut dengan satu maksud iaitu ‘tuhan’ (sebutan yang digunakan oleh bangsa Melayu sahaja ) sedangkan sebenarnya tidak ada perkataan Arab yang boleh merujuk kepada perkataan‘tuhan’. Para Nabi dan Para Rasul yang diutus oleh Allah adalah dari kalangan bangsa arab dan Al-Quran juga telah diturunkan oleh Allah didalam bahasa arab .

Firman Allah s.w.t.:

Dan Demi Sesungguhnya Kami Mengetahui, Bahawa mereka yang musyrik itu berkata: " sebenarnya Dia diajar oleh seorang manusia". (padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu adalah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa arab yang fasih nyata. ( Surah An-Nahl – ayat 103 )

.

Al-Quran telah menyebutkan bahawa Robb atau Ilah yang merupakan bahasa arab itulah yang selayaknya panggilan untuk Allah. Kita mengambil contoh, sejak dari zaman Nabi Adam hinggalah ke hari ini perkataan ‘Nabi’ itu adalah tetap disebut sebagai ‘Nabi’ juga tanpa ada kata ganti yang lain baginya. Mengapakah bagi nama Allah dengan sengaja kita ( bangsa melayu ) mengadakan satu ganti nama yang lain pula dengan menyebut perkataan ‘tuhan’ itu ? Kita sebenarnya amat tidak layak untuk memberikan kata ganti bagi nama Allah melainkan perkataan Robb atau Ilah saja sebagai kata ganti bagi merujuk kepada Allah seperti yang telah dijelaskan didalam Al Quran .

Nama Allah hendaklah kekal dan perlu sentiasa disebut sebagai Allah kerana ia merupakan sebuah nama khas yang bersifat ‘universal’ ( sejagat ) yang telah diwahyukan oleh Allah melalui para Rasul dan telah diketahui secara menyeluruh oleh seluruh umat Islam di dunia ini.Selain dari bangsa melayu mereka tidak akan faham jika kita menyebut perkataan tuhan dan mereka juga tidak perlu untuk menyebut perkataan tersebut kerana ia bukan satu tuntutan ( tiada hukum yang mewajibkan untuk menyebutnya ) kerana hanya nama Allah yang dituntut untuk disebut oleh seluruh umat Islam.Kita boleh mengambil contoh dengan bertanya kepada umat Islam berbangsa asing ataupun penjual karpet yang berbangsa Pakistan yang ada didalam negara kita ini tahukah mereka siapa itu tuhan, mereka akan menggelengkan kepala tidak tahu, tetapi apabila disebut nama Allah mereka akan kenal dan sedia mengetahui. Oleh yang demikian umat Islam di Malaysia hendaklah memahami hanya nama Allah yang perlu disebut kerana Allah adalah pencipta kita dan sebagai ‘ TUAN ’ (bukan tuhan) yang empunya kepada seluruh alam ini termasuklah berbagai bangsa yang ada diatas muka bumi ini dimana mereka hanya menyebut hanya nama yang satu iaitu Allah. Definasi Tuhan adalah berbeza dan sangat bertentangan dengan kesucian Zat Allah s.w..t. yang maha tunggal berdasarkan fakta yang akan dikemukakan dibawah .

Dua Fakta Tentang Asal Usul Perkataan Tuhan

Pertama :-

Didalam majalah Tiara kajian Alif Danya Munsyi, asal usul perkataan tuhan hanyalah ‘pelesetan’ dari kata Tuan dimana ia berpunca dari seorang Belanda yang telah tersalah sebut perkataan ‘Tuan’ Kepada tuhan. Paulus yang berasal dari Turki telah memanggil Isa Al-Masih dengan panggilan ‘Tuan’. Pada setiap akhir suratnya, Paulus selalu menyebut Isa Al-Masih sebagai Tuan: ‘Semoga rahmat Isa Al-Masih Tuan kita menyertai roh kita.’


Ketika tulisan surat tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, ia dimulakan pada tahun 1663 oleh seorang yang berbangsa Portugis bernama Browerius.Pada ketika itu gelaran bagi Isa Al-Masih masih lagi Tuan, tetapi ketika orang Belanda bernama Leijdecker pada tahun 1678 menterjemahkan surat-surat Paulus itu, sebutan Tuan telah berubah menjadi tuhan. Dengan kata lain, Leijdecker yang pertama kali menulis perkataan Tuhan. ( sila rujuk laman web http://wiriajaya.multiply.com/journal/item/85 ).

Dengan demikian, dapat difahami bahwa perkataan tuhan masuk kedalam bahasa Indonesia sebagai pengaruh teologi agama ( kristian ) pada mulanya hanyalah sebagai 'pelesetan' atau 'salah tulis' oleh seorang Belanda, tapi selanjutnya dibakukan sebagai perkataan baru yang disejajarkan dengan kata ‘Ilah’ dan ‘Robb’ dalam bahasa Arab. Kerana itulah dalam Kamus Umum Bahasa Indonesia, W.J.S. Poerwadarminta (seorang Katolik) tidak memberikan keterangan apa pun tentang kata Tuhan, kecuali menyamakannya dengan Allah!

Kedua :-


Perkataan tuhan juga berasal daripada bahasa sanskrit iaitu bahasa kuno yang di gunakan oleh agama Hindu di Indonesia. Ini disebabkan agama Hindu adalah yang terawal masuk ke Indonesia juga di Malaysia sebelum berkembangnya agama Islam di dua negara tersebut. Penganut agama Hindu beranggapan bahawa sesuatu yang berkuasa seperti dewa-dewa mereka itu sebagai tuhan.Kesan dari pengaruh agama Hindu yang ada pada masa itu atau melalui bekas penganutnya yang memeluk Islam Allah yang maha berkuasa itu juga telah dianggap sebagai tuhan. Bahasa Melayu adalah bahasa pinjaman atau ikut-ikutan, dimana Bahasa Melayu sebenarnya hanya mempunyai tiga perkataan yang asal atau asli iaitu ‘batu’, ‘kayu’ dan ‘padi’. Ini bermakna bahawa perkataan tuhan juga adalah bahasa pinjaman daripada bahasa sanskrit yang digunakan oleh penganut Hindu dan mempunyai maksud yang sangat bertentangan dengan keesaan Allah iaitu tu bermakna Kepala dan han pula bermakna Dewa ( Kepala Dewa) yang mana, dewa adalah sembahan kepada penganut agama Hindu. Jika merujuk makna tuhan seperti yang terdapat didalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi keempat (2005) diantara maksud tuhan juga disebut sebagai Dewa berkepala Dua .


Wahai kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, kita hendaklah menyedari bahawa pengedaran kitab suci Al-Quran yang mempunyai terjemahan ke dalam bahasa melayu di negara kita pada awalnya banyak diterbitkan dan dicetak dari Negara Indonesia. Kita orang melayu yang beragama Islam di Malaysia hanya mengikut dan menukarkannya daripada bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia. Sedangkan ada perkataan melayu seperti perkataan tuhan itu tidak ada maknanya untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Tidak menjadi masalah jika kita berdoa didalam bahasa arab tetapi jika kita berdoa didalam bahasa melayu kita hendaklah lebih berhati-hati supaya kita tidak tersalah tujuan kerana mengungkapkan perkataan yang salah.Tidak perlulah kita menggunakan perkataan tuhan lagi ketika berdoa, cukuplah dengan berkata contohnya: ’Ya Allah wahai penciptaku...’.ataupun gunakanlah 99 namaNya yang maha terpuji seperti yang terkandungg didalam al Quran kerana yang demikian itu adalah tuntutan yang sebenarnya.

‘Robb’.

Robb adalah daripada perkataan arab yang terkandung didalam Al-Quran. ‘Robb’ itu adalah sifat Allah sebagai Al-Khaliq iaitu sifat Allah yang Maha Pencipta, Pendidik dan Pengatur bagi alam semesta ini. Maka daripada makna tersebut mengandungi erti “Allah adalah pencipta Adam lalu Allah mendidik Adam dan Allah jualah yang mengatur kehidupan Adam”. Oleh itu “Robb” tidak boleh diberi makna sebagai tuhan seperti yang terdapat didalam terjemahan Al-Quran yang ada kini kerana terjemahan perkataan tuhan itu sebagaimana yang telah dijelaskan diatas mempunyai maksud yang sangat tidak baik kepada Allah.. Pengertian Robb telah disalah ertikan oleh golongan terdahulu dan diantara kesalahan penggunaan perkataan Robb yang perlu diperbetulkan sebagai contoh adalah ketika kita berdoa :- “Ya Allah, Ya Robbi” apabila ditukar kepada bahasa Melayu ia hendaklah bermaksud, “Ya Allah, Wahai Penciptaku, Pendidikku, Pengaturku”, bukan ‘Ya Allah Ya tuhanku’.


Ilah’.

Salah satu perkara fundamental yang berkait dengan aqidah seorang muslim dalam mentauhidkan Allah ialah pengertian Dua Kalimah Syahadah. Didalam ucapan kalimat Laa ilaaha ill-Allah itu terdapat kata Ilah yang seringkali diterjemah dengan perkataan tuhan. Padahal terjemahan itu tidak terlalu menjelaskan makna Ilah tersebut. Dalam bahasa arab ‘Ilah’ itu mengandungi maksud yang lebih tepat dengan tiga makna mendasar yakni (1) mahbuub (yang dicintai), (2) matbuu’ (yang dipatuhi/ditaati) dan (3) marhuub (yang ditakuti). Maka daripada makna tersebut mengandungi erti “ Aku naik saksi bahawa tidak ada yang kucintai, lalu kupatuhi dan kutakuti selain daripada Allah”.

Selain itu di dalam pengajian ilmu tauhid selama ini kita juga telah diajar bahawa sifat 20 itu sebagai Sifat ketuhanan sedangkan sepatutnya kita memahaminya sebagai Sifat Allah / Sifat Pencipta ( Al-Khaliq ) bukan sifat ketuhanan. Wahdaniah adalah antara sifat Allah yang terkandung didalam sifat 20 yang wajib bagi Allah dimana ia menjelaskan bahawa Allah itu tunggal tidak berbilang-bilang.Perkataan tuhan apabila disebut sebenarnya menjadi terlalu umum dan tidak merujuk terus kepada Allah kerana disana ada tuhan Hindu, tuhan Buddha, tuhan Kristian dan bermacam-macam lagi kerana sememangnya tuhan itu sifatnya adalah berbilang-bilang.Adalah tidak wajar untuk mengaitkan Allah dengan sifat ketuhanan kerana terdapat banyak tuhan yang hendak dikenalpasti sedangkan pada hakikatnya hanya Zat dan Sifat Allah Taala sendirian yang wujud dan hanya Allah sahaja pengatur serta pentadbir alam ini tidak ada yang lain.Biarlah hanya orang-orang bukan Islam atau yang musyrik saja terus dengan anggapan dan kepercayaan mereka untuk menyebut dan mempunyai tuhan-tuhan.Umat Islam hanya perlu menyebut nama Allah Yang Maha Esa secara mutlak ( sebagai Pencipta / Robb / Ilah kita ) dimana ucapan kita tidak akan sama seperti mereka ( tidak perlu ada tuhan) sebagai membezakan ketunggalan dan keesaan Allah yang tidak boleh disamakan atau ada perbandingan bagiNya dengan sesuatu juapun. Maha suci Allah dari apa yang mereka sifatkan.

Setelah kita mengetahui akan hakikat perkataan tuhan itu, bermula dari saat ini marilah kita memperbanyakkan menyebut nama Allah s.w.t. atau nama-nama-Nya didalam Asmaul-Husna samada didalam kehidupan seharian atau ketika beribadah kerana itulah nama sebenar bagiNya yang layak untuk dipanggil. Janganlah lagi kita menganggap tuhan itu adalah Allah kerana tuhan itu bukan nama ataupun gelaran bagi Allah sebagaimana sangkaan ataupun anggapan umat Islam yang berbangsa melayu selama ini.Jika kita berdoa dengan mengungkapkan perkataan Tuhan sebenarnya seolah-olah kita telah tersilap alamat untuk menyampaikan hajat kita ke destinasinya yang betul menyebabkan doa kita tergantung atau lambat dimakbulkan kerana kita telah menambah nama yang bukan nama Allah berserta namaNya yang mulia.Kita menyangka dengan menyebut tuhan bersama nama Allah itu lebih mendekatkan lagi diri kita kepada Allah sedangkan pada hakikatnya apa yang kita sebut itu mempunyai maksud yang tidak baik sebagaimana yang telah dijelaskan tadi. Disebabkan kita tidak pernah mengkaji kita perlu akui bahawa kesilapan yang tidak kita sedari seperti ini menyebabkan kita seolah-olah tidak dihiraukan oleh Allah.Dengan sebab itu pelbagai masalah terus melanda negara kita samada politik atau sosial dan sebagainya tanpa ada jalan penyelesaiannya disamping tekanan hidup yang semakin menghimpit umat Islam dewasa ini.

Bagi umat Islam,lazimnya ketika mereka sedang sakit secara spontan mereka akan merintih dan menyebut nama “Allah..Allah..Allah..” dengan jelas dan penuh pengharapan dan tidak mungkin ada yang menyebut tuhan..tuhan..tuhan” pada ketika itu.Begitu juga apabila kita terpandang kalimah Allah di langit misalnya, sudah tentu kita akan berkata bahawa kita telah melihat kalimah Allah dan bukan kalimah tuhan tetapi mendukacitakan kerana ramai dikalangan kita yang lebih banyak dan suka menyebut perkataan tuhan berbanding menyebut nama Allah dalam perbualan seharian sedangkan sepatutnya kita bersyukur dan berbangga untuk sentiasa menyebut nama Allah.Kita membantah apabila sekumpulan penganut kristian memohon untuk menggunakan nama Allah dalam amalan agama mereka sedangkan kita sendiri lebih suka menyebut perkataan tuhan berbanding nama Allah itu sendiri. Adakah kita malu untuk menyebut nama Allah atau kita merasakan hubungan kita dengan Pencipta kita itu begitu jauh sekali? Fikirkanlah...

Seterusnya lihatlah pula contoh perbandingan diantara senikata lagu Negaraku dan lagu Negeri Johor. Mengapakah didalam senikata lagu Negaraku menggunakan perkataan tuhan sedangkan senikata lagu Negeri Johor tidak ada walau sepatah pun perkataan tuhan melainkan yang ada hanyalah nama Allah. Ini bermakna seluruh pelajar di Negeri Johor termasuklah pelajar-pelajar yang bukan Islam sejak sekian lama telah menyebut nama Allah ketika menyanyikan lagu tersebut tanpa sebarang masalah yang berbangkit. Jika lagu Negeri Johor boleh menggunakan sepenuhnya nama Allah, mengapa tidak kita jadikannya sebagai contoh yang baik untuk diikuti dengan menggantikan perkataan tuhan itu kepada nama Allah samada didalam lagu Negaraku, Rukunegara dan lain-lain lagi serta yang lebih penting lagi adalah ketika kita beribadah kepada Allah khususnya ketika berdoa supaya mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah s.w.t.

Sila rujuk senikata kedua-dua buah lagu dibawah ini:


Normal 0 false false false MicrosoftInternetExplorer4 /* Style Definitions */ table.MsoNormalTable {mso-style-name:"Table Normal"; mso-tstyle-rowband-size:0; mso-tstyle-colband-size:0; mso-style-noshow:yes; mso-style-parent:""; mso-padding-alt:0in 5.4pt 0in 5.4pt; mso-para-margin:0in; mso-para-margin-bottom:.0001pt; mso-pagination:widow-orphan; font-size:10.0pt; font-family:"Times New Roman"; mso-ansi-language:#0400; mso-fareast-language:#0400; mso-bidi-language:#0400;}

Lagu Negaraku

Negaraku, tanah tumpahnya darahku

Rakyat hidup ,bersatu dan maju

Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan

Raja kita, selamat bertakhta

Rahmat bahagia Tuhan kurniakan

Raja kita, selamat bertakhta

Lagu Negeri Johor

Allah peliharakan Sultan

Anugerahkan dia segala kehormatan

Sihat dan ria kekal dan makmur

Luaskan kuasa menaungkan kami

Rakyat dipimpini bersama lagi

Dengan perintah bersatu hati

Allah berkati Johor, Allah selamatkan Sultan


Mudah-mudahan apabila kita sanggup untuk melakukan perubahan dengan memperbanyakkan menyebut nama Allah akan terbukalah pintu-pintu rahmat dan kurniaan Allah kepada kita semua..insyaallah. Percayalah, bahawa kita tidak akan rugi walau sedikitpun jika kita meninggalkan dari menyebut perkataan tuhan itu tetapi kita sangat merugi jika kita tidak mahu menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya kerana hanya kepada Allah pergantungan hidup kita di dunia dan akhirat.Meskipun penggunaan perkataan tuhan ini telah sekian lama berlarutan adalah diharapkan agar para Alim Ulama, Para Cendikiawan Islam dan pihak yang berkuasa khususnya di negara kita Malaysia supaya dapat menerima serta memahami apa yang cuba disampaikan disini dengan hati yang terbuka, berlapang dada, berjiwa besar serta sentiasa bersandar kepada hidayah Allah dalam mencari kebenaran seterusnya bersama memainkan peranan yang penting untuk menyampaikannya pula kepada seluruh umat Islam dalam memperbetulkan kekeliruan kita selama ini. Allah mempunyai nama-nama-Nya yang baik, oleh itu gunakanlah nama-nama Allah yang baik itu didalam kehidupan kita dan berdoalah sebagaimana contoh berikut :- “Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim…” Bukankah indah dengan doa yang sebegini…dan janganlah kita menyebut perkataan tuhan itu lagi…

Firman Allah s.w.t.

Dan Allah mempunyai nama-namaNya yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya Dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan. ( Surah Al-A’raaf, ayat 180 )

Apa yang diperjelaskan disini bagi sesetengah pihak mungkin menganggap ia hanya membabitkan soal istilah atau bahasa yang agak remeh dimana kita hanya perlu bergantung kepada apa yang kita niatkan ketika menyebutnya…Tugas kami hanya menyampaikan dan menjelaskan semata-mata kerana Allah. Sedari dan yakinlah bahawa, diatas dunia ini mungkin ia dipandang remeh tetapi kita bimbang jika ia menjadi suatu yang sangat berat setelah kita berhadapan dengan Allah di akhirat kelak kerana salah satu perkara yang boleh menjejaskan iman dan akidah kita disisi Allah adalah melalui perkataan.Walaupun kalimah Laa ilaha illallah itu ringan dibibir tetapi timbangannya adalah lebih berat dari dunia dan seisinya! Fahamilah ia..

Sebagai penutup ingatlah wahai kaum muslimin dan muslimat yang dikasihi, bagi mereka yang merenung dengan matahati, mereka tentu meyakini bahawa dunia ini sebenarnya telah semakin menghampiri ke penghujungnya.Samada kita sedar atau tidak, hari kebangkitan yang dijanjikan oleh Allah pasti akan terjadi secara mengejut ketika manusia asyik leka dengan urusan dunianya.Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha membersihkan nama Allah dan memperbanyakkan menyebut nama Allah didalam kehidupan kita yang berbaki ini. Tinggalkanlah sesuatu yang tidak berkaitan dan tidak dituntut ketika ingin menyebut nama Allah agar kita beroleh keredhaanNya di dunia dan akhirat. Semoga Allah menjadikan kita semua sebagai hambaNya yang sentiasa bertaubat dan diberikan keampunan.amin..Wassalam.

Membersih Nama Allah

No comments: