Saturday, January 24, 2009

hukum mengucapkan Selamat Hari Natal

Salam saudara..

1. Apa hukum kita mengucapkan Selamat Hari Natal kepada penganut bukan Islam?



2. Apa hukum TGNA menerima jemputan ke sambutan Tahun Baru Cina? Ini kerana saya terbaca artikel dalam blog HT bahawa tindakan itu menyalahi hukum Islam.


Jawapan:

Terima kasih saudara. Jawapan saya ada kekurangan. Ia kurang rujukan dan lain-lainnya. Selepas membaca coretan daif ini, cuba bandingkan pula dengan jawapan agamawan.



Perhatian.. jawapan ini jangan dipakai, diheret dalam hujah perbincangan, sebab ia cuma hadir sekadar mengisi ruang kekosongan. Semoga jawapan ini salah. Oleh sebab itu khalayak tak layak memegang pendapat ini dengan sekuat-kuatnya.




Sebelum menjawab soalan ini, biar saya rumuskan satu formula; amalan kita harus berdiri di atas nama maruah dan persahabatan, kasih sayang.



Untuk memudahkan kefahaman ini, rujuk kisah sumpah Nabi Ayub a.s yang menghukum isterinya.




Ketika Ayub a.s sembuh daripada penyakit, baginda mahu hukum isteri dengan 100 kali sebatan. Bagaimanapun atas kasih sayang Allah maka, diperintahkan Ayyub mencari 100 helai rumput kering yang diikat menjadi satu ikatan lalu dipukul isterinya hanya dengan sekali sebatan sahaja. Dengan itu, hukuman itu dianggap selesai.




Sebenarnya, isteri nabi Ayub tidak layak dihukum kerana kesalahan isterinya itu justeru untuk meringankan beban kehidupan mereka sehari-hari. Tetapi, oleh kerana Nabi Ayub telah bersumpah atas nama Allah, maka hal itu mesti diteruskan juga.




Tapi, kalau isteri Nabi Ayub itu tidak dihukum, menurut hemat saya, maka maruah nama Allah akan direndah-rendahkan. Jadi, mesti dihukum juga. Namun, kalau terus dihukum dengan 100 kali sebatan, itu zalim namanya kerana kesalahan isteri Nabi Ayub itu terkait dengan ihsan, kasih sayang si isteri terhadap suaminya.




Maka, hukum tetap dilaksanakan atas nama MARUAH. Tapi dalam masa yang sama, hukuman itu telah diringankan ke tahap minima atas nama KASIH SAYANG.




Kembali kita kepada isu hukum mengucapkan Selamat Hari Natal.




Pendapat mengenai hukum mengucapkan Selamat Natal
Seperti yang termaklum, secara ringkasnya hukum ini terbelah kepada dua bahagian.




Ada dua pendapat dalam permasalahan ini:




1. Ibnu Taimiyah, Ibnu al-Qayyim, para pengikut dan ulamak yang lainnya berpendapat bahawa hukum mengucap selamat Hari Natal adalah haram karena perayaan ini adalah antara syiar Kristian. Dan pengucapan selamat itu dilihat sebagai tasyabbuh (menyerupai) dan atas dasar ini, maka ia diharamkan.




Mereka juga berpendapat wajib menjauhi berbagai perayaan orang-orang kafir, menjauhi sikap menyerupai perbuatan-perbuatan mereka, tidak menolong seorang Muslim dalam menyerupai perayaan hari raya mereka, tidak mengucapkan selamat atas hari raya mereka serta menjauhi penggunaan berbagai nama dan istilah khusus didalam ibadah mereka.

2. Jumhur ulama masa kini membolehkan pengucapan Hari Natal, antaranya Dr Yusuf al-Qaradhawi yang berpendapat bahwa perubahan masa menjadikan dia berbeza pandangan dengan Ibnu Taimiyah.




Al-Qaradhawi membolehkannya apabila mereka adalah orang-orang yang lembut ke atas Muslimin, lebih-lebih lagi apabila ada hubungan kejiranan, teman sekuliah, sepejabat dan lain-lainnya. Hal ini termasuk dalam berbuat kebajikan yang tidak dilarang Allah.




Tidak dilarang bagi seorang muslim atau badan Islam memberi selamat atas perayaan ini, baik dengan lisan atau pun pengiriman kad ucapan yang tidak menampilkan simbol mereka atau berbagai ungkapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti salib. Ucapan-ucapan yang digunakan dalam pemberian ucapan selamat ini pun haruslah yang tidak mengandungi unsur pengukuhan ke atas agama mereka.




Tidak dilarang menerima hadiah mereka karena sesungguhnya Nabi s.a.w telah menerima berbagai hadiah dari bukan Muslim seperti al-Muqouqis Pemimpin al Qibthi di Mesir dan juga yang lainnya dengan syarat bahawa hadiah itu bukan yang diharamkan seperti arak, daging babi dan lainnya.

Antara para ulama yang membolehkan hal ini adalah Dr Abdus Sattar Fathullah Sa'id, Dr. Muhammad Sayyid Dasuki, Ustadz Musthafa az Zarqo serta Syeikh Muhammad Rasyid Ridha. (www.islamonline.net)




Tapi, mengikuti program Natal bersama bagi umat Islam hukumnya haram. Supaya umat Islam tidak terjerumus kepada syubhat dan larangan Allah, maka dianjurkan untuk tidak mengikuti kegiatan-kegiatan perayaan Natal.


Berkasih sayang penganut Kristian, tapi maruah Islam harus dipelihara


Namun, sikap baik kepada mereka bukan bererti harus kita terjun dalam prinsip agama, dalam lingkungan aqidah mereka.


Kembali kepada formula awal tadi. Sikap, pendirian dan amalan kita mestilah berteraskan kepada maruah dan kasih sayang. Atas nama kasih sayang, boleh hadir dalam jamuan mereka, tetapi untuk mengangkat doa, mengaminkan bacaan doa mereka, maka hal itu tidak diperlukan, kerana ini bersangkutan maruah agama.


Lihat juga bagaimana dalam kes-kes Rasulullah s.a.w bertindak ketika berdepan dengan orang-orang bukan Islam. Ada waktu-waktunya, seperti baginda mengalah, berkompromi tetapi dalam hal lain, baginda bertegas.

Dalam kes Hudaibiyyah, baginda mengalah kerana hal itu tidak terkait dengan hal ibadat. Tapi, baginda enggan mengalah dan tunduk kepada permintaan yang mahu berkompromi soal ibadat, misalnya hari ini Rasulullah s.a.w menyembah berhala bersama-sama orang-orang kafir manakala esoknya orang kafir akan menyertai nabi menyembah Allah.

Hal ini nabi tolak melalui penyataan: 'Lakum diinukum wa liya deen.' (Kamu dengan hal agamamu, aku dengan urusan agamaku.)


Demikian juga ketika nabi dipujuk untuk diserahkan wanita, harta termasuklah diangkat sebagai pemimpin, maka nabi menolak ajakan tersebut kerana syaratnya ialah tinggalkan urusan dakwah Islam ini.

Ringkasnya, dalam hal maruah, tiada kompromi. Tetapi, kita mestilah raikan saudara non Muslim atas nama kasih sayang dengan menziarahi mereka jikalau ada jemputan kenduri, acara makan dan minum petang di rumah mereka.


Sebenarnya, agak sulit untuk non Muslim memahami beberapa perkara dalam Islam ini kerana ruang untuk mereka faham ini agak terbatas dan pendidikan kita tidak menjurus kepada usaha untuk memahamkan non Muslim di negara ini terhadap agama Islam.




Pendirian HT terhadap sikap Tuan Guru mengunjungi perayaan bukan Islam


Tatkala saya menulis ini saya cuba mencari petikan yang saudara maksudkan itu tapi saya belum bertemu dengannya. Jadi, belum dapat saya mengulas hal tersebut.


Maka, berhubung sikap, pendirian Hizbut Tahrir terhadap sikap tuan guru meraikan hari raya non Muslim ini, saya tidak pasti apakah dalil mereka yang sebenarnya. Agak mudah jika sesuatu teguran bersifat ilmiah. Tetapi, jika kritikan itu bersumberkan daripada emosi yang tidak terkawal, sangat sulit untuk kita damaikan antara sengketa ini.


Akhirul kalam, saya berpandangan tiada masalahnya kalau orang-orang agama kita pergi menziarahi dan menghadiri upacara perayaan agama dan kaum lain. Memang kita sedang berdepan dengan masalah selisih faham kebangsaan dan keagamaan di Malaysia hari ini dan semua ini menuntut keikhlasan dan masa untuk sama-sama kita memahaminya.

No comments: